Syarikat Berasaskan Produk Ganoderma Muncul Penaja Utama Kedah Musim 2022

Sebuah syarikat yang berasaskan produk ganoderma (sejenis kulat) iaitu DXN Industries (M) Sdn Bhd muncul penaja utama buat Kedah Darul Aman FC (Kedah) untuk musim 2022.

Syarikat yang berpangkalan di Jitra ini diperkenalkan sebagai penaja utama skuad Hijau Kuning oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, hari ini.

Dengan pengenalan syarikat ini sebagai penaja utama, dijangka logo DXN Industries bakal menghiasi ruangan hadapan kesemua jersi pasukan Kedah, pada musim ini. Bagaimanapun, tiada sebarang jumlah tajaan daripada DXN Industries kepada Kedah didedahkan kepada umum.

Dalam majlis yang sama, Sanusi merangkap Menteri Besar Kedah turut memperkenalkan enam buah syarikat yang menjadi penaja bersama (co-sponsor). Enam syarikat tersebut ialah Energy Eco Berhad, Ohga Pharmacy, Data Sukan, BerryPay, Cosmic Travel and Tour serta Prestige Sports (Lotto).

Sementara itu, tujuh buah syarikat lagi diumumkan sebagai rakan kerjasama (partnership) Kedah iaitu Reds Defence, KXG Sport Analytics, Alpha & G Master (Sony), Fitogether, Halo Telco, Aafiyat Holdings dan Halagel.

Untuk makluman semua, musim lalu, Kedah mendapat tajaan utama daripada syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembinaan, Widad Group Berhad sekaligus menghiasi ruangan hadapan tiga jersi Kedah pada tahun 2021.

Galeri Gambar